Friday, July 10, 2009

Pentas Pilih Kasih (petikan dari Berita harian 10/07/09)

Sekadar nak kongsi cerita berkenaan dengan Program ni ...


Zulin 'buah hati' Rosyam Nor?


PESERTA Pilih Kasih minggu kelima melakonkan aksi Batu Belah Batu Bertangkup.


Pilih Kasih makin hangat apabila peserta itu masih bersaing walaupun sering duduki tempat paling bawah undian SMS

AKTOR popular, Rosyam Nor terus menjadi mangsa cacian dan platform untuk dipersalahkan apabila beliau sekali lagi menyingkirkan seorang peserta dari program realiti cetusan ideanya sendiri, Pilih Kasih pada malam Sabtu lalu.

Pentas Pilih Kasih yang bersiaran secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad Senawang hujung minggu lalu menyaksikan penyingkiran kelima yang membawa Ayu Ruhaizah Rosly atau nama komersialnya U Haizah untuk terus meninggalkan akademi seni lakon Pilih Kasih serta 15 teman yang lain dalam perjuangan demi bergelar seorang pelakon.

Menurut Rosyam juga pemilik kuasa veto untuk menyingkirkan mana-mana tiga peserta yang mendapat undian terendah menyifatkan tanggungjawabnya adalah sangat berat dan kuasa yang berada di tangannya mampu membawa elemen kebencian penonton serta ahli keluarga peserta.

Meskipun begitu, beliau terpaksa akur untuk terus membuat keputusan bagi menyingkirkan seorang peserta dalam misi mencari seorang pemenang dan bakal dinobatkan sebagai pelakon layar lebar dalam filemnya yang akan menyusur selepas program ini, Kekasih arahan pengarah tersohor, Bade Hj Azmi.

"Setiap minggu saya akan berdepan dengan senario cukup memeningkan. Saya tahu keputusan saya akan menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak, baik ahli keluarga peserta, penyokong mereka malah kalangan tenaga pengajar Pilih Kasih juga sering mempertikaikan keputusan saya.

REAKSI peserta apabila U Haizah disingkirkan.

"Namun itulah cabaran dan risiko yang perlu saya ambil untuk merealisasikan objektif program terbitan saya yang mencari seorang pemenang. Sebab utama dan alasan mengapa saya menyingkirkan seseorang peserta itu hanya dalam hati saya dan saya tidak lihat ia sebagai satu bahan yang boleh dikongsi dengan sesiapa termasuk pihak penerbitan sendiri," katanya yang pernah dikaitkan isu bermasam muka dengan Erma Fatima yang juga tenaga pengajar teater atas keputusan yang dilakukan.

Rosyam yang kini sibuk di lokasi penggambaran filem terbarunya, Libas arahan Jurrey Latiff bagaimanapun menegaskan tiada unsur pilih kasih atau pilih bulu kerana masih menyimpan seorang peserta wanita yang sudah kali keempat berada di tangga terbawah, Zulin Aziz, namun masih terselamat.

"Keputusan yang saya ambil berdasarkan beberapa faktor pada perspektif pengalaman sendiri. Tidak timbul isu pilih bulu setiap kali saya mengadili mereka meskipun ramai yang menganggap begitu hanya kerana saya masih menyimpan Zulin.

"Seperti yang saya tegaskan, segala sebab dan faktor membawa kepada keputusan saya setiap minggu tidak perlu saya jelaskan kepada sesiapa kerana ia satu milik peribadi saya selaku penerbit dan pencetus konsep," katanya lagi.


ZULIN masih meneruskan cabaran dalam Pilih Kasih.

Justeru, tiada siapa yang mampu mempertikaikan setiap keputusan yang diambil oleh pemenang pelakon lelaki terbaik di Festival Filem ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini kerana kuasa yang ada padanya adalah mutlak dan selari dengan konsep program yang membawa judul pilih Kasih.

Bagaimanapun, mangsa terbaru Rosyam, anak jati Sabah dan juga pelajar jurusan Seni Kreatif dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), U Haizah ketika ditemui di sidang media selepas tamat Pentas Pilih Kasih hanya menyerahkan segala keputusan atau perancangan selanjutnya kepada pihak pengurusan dan Rosyam sendiri yang telah dianggap seperti ayah dalam Pilih Kasih.

"Saya tidak menyalahkan Abang Rosyam sebaliknya hanya memandang segala yang berlaku dari aspek positif yang mana ia telah memberi ruang kepada saya untuk mempamerkan bakat saya selama ini. Pilih Kasih adalah sebuah program atau platform kepada saya dan rakan lain untuk menjual bakat dan kebolehan kami di pasaran terbuka dan kepada industri hiburan tanah air.

"Justeru segala kemungkinan dan keputusan yang diambil untuk menyingkirkan saya dari medan tempur itu hanya satu ujian awal demi bergelar anak seni. Jadi memang tidak timbul langsung rasa terkilan atau marah kerana Abang Rosyam menyingkirkan saya dan terus menyimpan Zulin kerana saya sendiri akui bakat yang dimilikinya (Zulin) jauh lebih menonjol berbanding saya," katanya yang terpilih ke program ini melalui sesi uji bakat yang diadakan di pusat beli belah 1 Borneo, Kota Kinabalu April lalu.

Kedudukan rapuh U Haizah selepas undian ditutup adalah pada skala selamat iaitu meraih 3.45 peratus undian berbanding Zulin Aziz yang juga pelajar Aswara hanya mendapat 3.1 peratus. Manakala bekas ahli kumpulan Flava, Ahdan mendapat 3.0 peratus.

Penerbit dan pembikin filem popular, David Teo telah dijemput menjadi juri undangan bersama juri tetap setiap minggu, Dr Abu Hassan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Universiti Malaya.

Ketika diminta mengulas mengenai penyingkiran U Haizah, penerbit yang kini tersenyum dengan kutipan box-office filem terbarunya, Jangan Pandang Belakang Congkak, hanya beranggapan ia lumrah sebagai peserta program realiti.

Namun, perjuangan U Haizah dalam bidang seni perlu diteruskan. David yang banyak memberi komen membina juga sempat berseloroh untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Pilih Kasih kerana beliau cukup teruja dengan bakat yang ditampilkan peserta.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...